5 April 2013
Pada pagi ini, aku sempat berbual dengan kakak senior
semester 8 yang juga mengambil jurusan Bahasa Melayu seperti aku di UPSI. Dia
menceritakan bahawa malam semalam dia telah menerima satu sistem pesanan
ringkas (SMS) daripada seorang pelajar iaitu, pelajar di tempat dia menjalankan
pengajaran Makro. Pesanan ringkas tersebut berbunyi seperti, “Cikgu ngah wat per tew? Busy ker? Macam
busy jew?” Penggunaan bahasa slanga yang sangat meluas dalam kalangan
remaja pada masa kini menyebabkan wujudnya bahasa slanga yang bukan sahaja
digunakan dalam percakapan malah digunakan juga dalam penulisan. Bahasa slanga
merupakan kata-kata yang terdiri daripada ungkapan dan sebagainya yang tidak
tergolong dalam bahasa baku, seringnya digunakan dalam percakapan tidak rasmi.
Ia juga boleh diertikan sebagai pertuturan yang menyimpang daripada norma
sebutan atau tatabahasa. Dewasa ini, penggunaan bahasa slanga semakin menular
dalam masyarakat kita termasuk dalam penulisan pelajar semasa di sekolah, di
dalam buku komik, dan sebagainya. Penggunaan bahasa slanga yang serba mudah dan
meluas ini menyebabkan banyak istilah baru yang muncul bagi memudahkan ekspresi. Sebagai contoh, “percaya menjadi caye, macam ini menjadi camni,
keluar menjadi kuar” dan
sebagainya. Istilah-istilah ini menjadi
budaya dalam percakapan masyarakat pada masa kini terutamanya dalam kalangan
remaja. Keadaan ini sangat membimbangkan kerana ianya boleh merosakkan citra
bangsa kita, seterusnya boleh menyebabkan generasi pada masa akan datang
mewarisi bahasa Melayu yang telah menggunakan istilah-istilah baru.