22 March 2013
Semalam, telah terjadinya satu peristiwa yang tidak
mungkin aku lupakan dalam hidupku. Peristiwa ini sangat menyentuh hatiku. Aku
dan tiga orang rakanku, Ruzita, Siti dan Juliza bersiar-siar ke Pantai Teluk
Chempedak, Kuantan. Sewaktu kami berjalan mengambil angin, daripada jauh kami terlihat
seorang lelaki buta mahu melintas jalan namun tiada sesiapa pun yang mahu membantunya.
Mereka hanya melihat sahaja dan tidak mengendahkan sama sekali lelaki buta
tersebut yang kelihatan buntu dan teragak-agak untuk melintas. Tambahan pula,
pada ketika itu terdapat banyak kenderaan yang sedang keluar masuk ke pusat
pelancongan tersebut. Kami berasa sangat kasihan kepadanya. Pada saat itu juga,
aku membayangkan bagaimana nasibku jika berada ditempatnya. Tanpa mengambil
masa yang lama, kami berempat berpakat menghampirinya untuk membantu dia
melintas jalan. Orang buta tersebut berterima kasih kepada kami. Kami berasa
gembira dan berpuas hati kerana dapat memberi pertolongan kepada orang yang
dalam kesusahan meski pun pertolongan kami itu tidaklah sebesar mana. Aku
berasa hairan dengan sikap orang ramai pada masa kini. Dimanakah perginya
nilai-nilai murni yang seharusnya kita amalkan dalam kehidupan seharian kita.
Hidup ini seperti roda, kadangkala kita berada di atas dan kadangkala kita
berada di bawah. Oleh hal yang demikian, kita seharusnya menerapkan nilai murni
di dalam diri kita agar dapat menjadi contoh kepada generasi pada masa akan
datang.
No comments:
Post a Comment