15 March 2013
Kini aku berada di semester 4 dan
mengambil kos Pendidikan Bahasa Melayu di Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pada
semester ini, aku mengambil subjek Kursus Pengurusan Pembelajaran (2P) yang
merupakan subjek teras dalam universiti ini. Dalam kursus ini, kami diwajibkan
untuk membuat ujian lisan dan bercakap mengenai isu pendidikan seorang demi
seorang di dewan kuliah. Ujian lisan ini akan dinilai oleh pensyarah dan beliau
pasti akan memberikan komen terhadap ujian lisan yang dijalankan. Selama lima
minggu sudah berlalu, terdapat beberapa orang pelajar yang sudah selesai dengan
ujian lisan mereka. Namun begitu, ujian lisan yang disampaikan oleh mereka
pasti tidak lari daripada membuat kesalahan dalam berkomunikasi iaitu bahasa
rojak. Pensyarah sudah beberapa kali menegur mereka yang berbuat kesalahan
penggunaan bahasa, tetapi mereka masih lagi menggunakan bahasa Melayu dan
bahasa Inggeris pada masa yang sama. Situasi ini memperlihatkan bahawa penggunaan
bahasa rojak semakin meluas digunakan dalam kalangan generasi pada hari ini
terutamanya dalam golongan remaja. Hal ini begitu membimbangkan kerana
penggunaan bahasa rojak boleh merosakkan bahasa ibunda kita iaitu bahasa
Melayu. Sememangnya tidak salah jika kita menguasai bahasa lain selain daripada
bahasa Melayu, tetapi kita perlulah memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa
rasmi kita. Oleh itu, jelaslah bahawa penggunaan bahasa rojak memberikan impak
yang negatif dalam melahirkan generasi Melayu pada masa akan datang.