Tuesday, 16 April 2013

Bahasa Slanga


5 April 2013

            Pada pagi ini, aku sempat berbual dengan kakak senior semester 8 yang juga mengambil jurusan Bahasa Melayu seperti aku di UPSI. Dia menceritakan bahawa malam semalam dia telah menerima satu sistem pesanan ringkas (SMS) daripada seorang pelajar iaitu, pelajar di tempat dia menjalankan pengajaran Makro. Pesanan ringkas tersebut berbunyi seperti, “Cikgu ngah wat per tew? Busy ker? Macam busy jew?” Penggunaan bahasa slanga yang sangat meluas dalam kalangan remaja pada masa kini menyebabkan wujudnya bahasa slanga yang bukan sahaja digunakan dalam percakapan malah digunakan juga dalam penulisan. Bahasa slanga merupakan kata-kata yang terdiri daripada ungkapan dan sebagainya yang tidak tergolong dalam bahasa baku, seringnya digunakan dalam percakapan tidak rasmi. Ia juga boleh diertikan sebagai pertuturan yang menyimpang daripada norma sebutan atau tatabahasa. Dewasa ini, penggunaan bahasa slanga semakin menular dalam masyarakat kita termasuk dalam penulisan pelajar semasa di sekolah, di dalam buku komik, dan sebagainya. Penggunaan bahasa slanga yang serba mudah dan meluas ini menyebabkan banyak istilah baru yang muncul  bagi memudahkan ekspresi. Sebagai contoh, “percaya menjadi caye, macam ini menjadi camni, keluar menjadi kuar” dan sebagainya.  Istilah-istilah ini menjadi budaya dalam percakapan masyarakat pada masa kini terutamanya dalam kalangan remaja. Keadaan ini sangat membimbangkan kerana ianya boleh merosakkan citra bangsa kita, seterusnya boleh menyebabkan generasi pada masa akan datang mewarisi bahasa Melayu yang telah menggunakan istilah-istilah baru.

Bahasa Pasar


4 April 2013

            Dewasa ini, kita sering mendengar bahawa bahasa pasar digunakan secara meluas dalam kalangan masyarakat dalam pelbagai situasi. Bahasa pasar merupakan bahasa kacukan antara bahasa Melayu dengan bahasa-bahasa bukan Melayu. Bahasa pasar juga merupakan ragam yang digunakan antara orang-orang Melayu dengan kaum atau bangsa lain atau antara kaum-kaum dan bangsa lain. Bahasa pasar atau bahasa kacukan terdapat banyak unsur bahasa yang digunakan bersama seperti bahasa Cina dan bahasa Tamil. Misalnya, “Sekalang gua punya mini sutat tatak mau dengar gua punya cakap.” Ayat tersebut ialah percakapan seorang lelaki cina yang membawa maksud, “Sekarang isteri/bini gua sudah tidak mahu mendengar kata saya.” Contoh lain ialah, “Itu olang makan kasi kalau banyak suka, tapi kalau disuruh bekerja malas.” Sesetengah daripada bentuk dan susunan ragam yang bukan bahasa Melayu ini telah begitu sebati dalam penggunaanya sehingga orang Melayu sendiri tidak sedar lagi akan keasingannya dan menyangka bahawa bentuk-bentuk itu ialah bentuk-bentuk bahasa Melayu tulen. Contohnya, “apa mahu, kasi tahu, dan saya punya adik.” Ini menyebabkan orang Melayu terbawa-bawa sifat ketika berkomunikasi dengan kaum asing lantas mereka telah menjadi model yang salah kepada kaum asing. Keadaa ini dikhuatiri menyebabkan penguasaan dan kemahiran dalam menggunakan bahasa Melayu akan berkurangan serta berlakunya kerosakan terhadap bahasa ibunda kita.

Bahasa Basahan


3 April 2013

            Tahukah anda apa itu partikel? Partikel adalah sejenis kata tugas seperti -kah, -lah, -tah, dan lain-lain. Pada masa kini, terdapat ramai dalam kalangan masyarakat kita yang sering menggunakan partikel-partikel tersebut semasa bercakap. Pernah pada suatu ketika, terdapat seorang pensyarah yang berpesan, “Dalam percakapan atau komunikasi, jangan biasakan bercakap –lah, kerana –lah itu adalah bahasa basahan.” Bahasa basahan ialah bahasa yang digunakan oleh masyarakat dalam kehidupan seharian secara tidak rasmi. Pesanan pensyarah tersebut menunjukkan bahawa mungkin terdapat pelajar yang berkomunikasi dengannya menggunakan bahasa basahan seperti itu. Contohnya, “kena buat macam ni lah?, tak payah lah, dan susah lah.” Ayat-ayat yang mengandungi partikel –lah seperti itu mungkin dianggap bahasa basahan oleh beliau. Kata partikel tersebut dianggap kurang sesuai untuk kita ucapkan ketika menggunakan bahasa dalam keadaan atau situasi formal. Oleh hal yang demikian, kita seharusnya menggunakan bahasa dengan baik dan teratur semasa berkomunikasi. Penguasaan bahasa yang tidak sesuai boleh memberi impak yang negatif terhadap generasi pada masa akan datang iaitu mereka akan sukar untuk menguasai bahasa Melayu dengan baik dan berkesan.

Dialek Terengganu


2 April 2013

            Aku masih teringat akan peristiwa pada minggu lepas semasa di dalam bilik kuliah. Pada hari tersebut, kumpulan kami dikehendaki untuk membentangkan tugasan berkumpulan bagi subjek Kemahiran Komunikasi. Pelbagai telatah daripada para pembentang yang mencuit hati kami semua. Salah seorang rakanku yang bernama Ameera berasal dari Hulu Terengganu dan dialek yang digunakannya agak pekat. Setiap patah ayat yang diucapkannya pasti akan menampakkan dialek Terengganu. Sebagai contoh, “Piye dok Pahang lagi hok ni?.” Ayat tersebut bermaksud “Siapa yang masih tak faham bahagian ni?.” Sejurus dia bertanyakan soalan tersebut, semua pelajar di dalam kelas mentertawakannya termasuklah aku dan rakan-rakan pembentang yang lain. Kami berasa dia sangat lucu orangnya. Selain itu, dia juga kerap menggunakan penambahan huruf “ng” semasa bercakap. Misalnya, apabila dia hendak menyebut perkataan “keterangan,” secara automatik dia akan menyebut “keterangang,” begitu juga perkataan “dan” yang menjadi “dang.” Namun begitu, pensyarah sempat berpesan kepadanya agar memperbaiki percakapan supaya aktiviti pembentangan menjadi lebih formal dan tersusun. Jadi, penggunaan bahasa yang baik sangat penting demi memartabatkan bahasa kebangsaan kita.

Dialek Pahang


1 April 2013

            Aku merupakan anak jati Pahang, ayah dan juga ibuku berasal dari negeri Pahang. Terdapat pelbagai dialek negeri Pahang dan kebanyakannya berasal dari Temerloh, Pahang. Gaya penuturan sama seperti penutur dialek Kelantan dan dialek Terengganu. Namun, ianya berbeza sedikit dari segi sebutan. Tidak banyak maklumat yang diperolehi tentang dialek negeri Pahang ini kerana penuturnya lebih cenderung menggunakan dialek Johor-Riau (Pahang pada suatu masa dahulu adalah sebahagian dari jajahan kerajaan Johor-Riau-Lingga). Antara contohnya ialah:
                        Aok – awak
                        Ampuh – sempat
                        Babir –degil
                        Biroh – gatal
                        Berte’eih – bertungkus-lumus
                        Bela – baiki
                        Cemuih – bosan
                        Cakner – peduli
                        Dan – sempat
                        Jabir – plastik
                        Koi – saya/aku
                        Malaih – malas
                        Mengkane – kain telekung
                        Pedo’oh – tipu
                        Sokmo - selalu

Dialek Kelantan


29 March 2013

            Aku mempunyai seorang rakan karib yang berasal dari negeri Kelantan. Namanya ialah Suhaila. Dia boleh bercakap bahasa Melayu standard dengan baik sekali tetapi apabila dia berjumpa dengan kawan-kawannya yang turut berasal dari negeri Kelantan juga, dia akan bercakap dengan menggunakan dialek Kelantan. Meskipun aku berasal dari negeri Pahang, aku masih dapat memahami tutur ayat yang disebutkan oleh Suhaila dan kawan-kawannya. Contoh ayat yang digunakan olehnya, “Mu wak gapo tu? dan Bule ambo ikut etep?” Ia bermaksud “Awak Buat Apa Tu? dan Boleh Saya Ikut Juga?” Dialek Kelantan merupakan dialek Melayu yang paling banyak mempunyai beza sebutan dari dialek-dialek Melayu di Semenanjung. Selain beza sebutan, dialek Kelantan juga mempunyai banyak perkataan yang berbeza. Ciri utamanya adalah penggantian huruf ‘n’ dan ‘ng’ di belakang kata dengan huruf ‘e’ manakala huruf ‘a’ di belakang kata juga diganti dengan bunyi ‘o’. Dialek Kelantan merupakan salah satu daripada variasi bahasa yang unik dan kaya terutamanya dari segi sebutan, kosa kata dan makna. Antara contoh lain ialah “bojeng” yang membawa makna gaya rambut, “kuis” iaitu menggerakkan sesuatu dengan kaki, “kuca bara” yang bermaksud suasana yang bersepah dan banyak lagi. Penggunaan dialek Kelantan ini haruslah diteruskan dan khazanah kekayaan dialek Kelantan perlu dicari gali agar ia tidak luput ditelan arus zaman.

Bahasa Kasar


28 March 2013

            Dalam kehidupan serba moden pada hari ini, kita sering sahaja mendengar bahasa kasar yang digunakan oleh segelintir masyarakat terutamanya dalam golongan remaja. Bahasa kasar boleh dispesifikasikan sebagai bahasa ikutan daripada pengaruh luar yang diikuti oleh masyarakat kita pada hari ini. Bahasa kasar oleh ditafsirkan sebagai bahasa yang menggunakan pelbagai perkataan dan mempunyai impak negatif dalam perbualan harian anggota masyarakat negara kita. Dalam bahasa Melayu, terdapat beberapa bahasa kasar yang digunakan dalam situasi pertentangan atau dalam keadaan penuturnya berperasaan marah atau dalam keadaan yang tidak selesa. Contohnya maki hamun dan tengking herdik adalah bahasa kasar yang sering digunakan oleh orang Melayu bagi melepaskan perasaan geram atau marah terhadap seseorang. Selain itu, bahasa kasar juga terjadi disebabkan gaya penuturnya yang kasar. Misalnya, seorang anak yang bersuara dengan nada yang tinggi terhadap orang yang lebih dewasa, perlakuan bercakap dengan kuat di masjid, berbual dengan kuat atau ketawa di rumah yang sedang menghadapi kematian juga dianggap kasar dalam budaya Melayu. Penularan bahasa kasar ini adalah mungkin disebabkan oleh pengaruh filem, atau contoh yang tidak baik di televisyen atau media elektronik lain yang dibawa dari barat. Oleh hal yang demikian, semua pihak bertanggungjawab bagi memperkukuhkan etika berbahasa dalam kalangan masyarakat pada hari ini agar gejala ini teidak berleluasa serta memberi impak yang tidak baik kepada generasi akan datang.

Monday, 15 April 2013

Bahasa Halus


27 March 2013

            Apabila kita ingin mengungkapkan sesuatu perkara tanpa menyinggung perasaan seseorang, kita haruslah bijak menggunakan perkataan yang sesuai dengan keadaan yang berlaku. Oleh hal yang demikian, bahasa halus digunakan untuk menjaga hati seseorang. Bahasa halus ialah suatu sistem bahasa yang beradat, bersopan-santun, dan berbudaya tinggi. Perkataan yang digunakan melambangkan kesopanan dan bernilai tinggi serta lengkap dengan sistem nahu bahasa halus juga menggunakan kata ganti nama yang lengkap dan bersopan serta menggunakan nada pengucapan yang rendah, lembut dan menimbulkan kemesraan. Dalam surat-menyurat antara ahli keluarga, bahasa halus digunakan dalam kata ganti nama diri. Misalnya, nenda, ayahanda, bonda, kekanda, dan adinda. Tujuannya ialah untuk menghormati orang tersebut. Selain itu, dalam bahasa halus penggunaan bahasa kiasan dan peribahasa turut digunakanuntuk menyatakan sesuatu yang kurang manis. Bahasa kiasan yang sering digunakan dalam bahasa halus ialah kiasan pemanis. Contohnya:
                        Mati – meninggal dunia
                        Dikuburkan – dikebumikan
                        Bunting – berbadan dua

Bahasa halus ini digunakan bertujuan untuk menjaga perasaan orang yang dilawan bercakap, mewujudkan kemesraan, serta menghormati peraturan adat-istiadat. Oleh itu, penggunaan bahasa halus secara tidak langsung dapat mengeratkan silaturrahim antara masyarakat dan penguasaan bahasa menjadi lebih sopan, teratur, dan baik seterusnya dapat menjadi contoh kepada generasi pada masa akan datang.

Bahasa Jawa


26 March 2013

Aku berasa sungguh bosan memandangkan teman sebilikku telah keluar bersama rakannya yang lain lantas aku menuju ke bilik sebelah. Rupanya-rupanya kawanku yang bernama Diana sedang berbual di telefon. Anehnya, aku tidak memahami sepatah perkataan pun yang dibualkannya. Bahasa apakah yang digunakan? Aku terdengar dia menyebut perkataan “westuru opo orak, dollan-dollan dan ama.” Selesai sahaja dia berbual-bual di telefon, aku pun terus meluru ke arahnya untuk bertanyakan kepadanya. Berjuta persoalan bermain di mindaku ini. Apabila aku mengajukan soalan kepadanya, terus sahaja meledak ketawanya. Aku tercengang dan dahiku berkerut. Aku terus mendesaknya supaya memberitahu bahasa apakah yang digunakan olehnya sebentar tadi atau pun aku telah tersalah dengar. Aku memandang wajahnya dengan bersungguh-sungguh. Rupa-rupanya dia berbual dengan ibunya dengan menggunakan bahasa Jawa. Selepas itu, barulah dia menjelaskan bahawa dia berketurunan Jawa. Kemudian, baruku tahu bahawa “dollan” itu adalah perkataan Jawa yang bermaksud jalan-jalan. Dia turut memanggil ibunya dengan panggilan ‘ama’ yang bermaksud emak. Sedikit sebanyak aku turut mempelajari bahasa Jawa daripadanya. Aku berasa sangat seronok dan aku telah menyedari bahawa bahasa Jawa juga sangat menarik untuk dipelajari. Selain itu, aku juga berpendapat bahawa tidak salah sekiranya kita mempelajari bahasa lain selain bahasa ibunda kita iaitu bahasa Melayu kerana melalui bahasa, kita dapat meluaskan ilmu pengetahuan kita.

Rakan Baru


25 March 2013

Hari ini aku dan rakan-rakanku mendapat seorang ‘housemate’ baru di rumah sewa ini. Apa yang menariknya ialah dia merupakan pelajar antarabangsa yang berasal dari Acheh, Indonesia. Dia juga agak fasih berbahasa Melayu. Aku berasa teruja untuk belajar bahasa Indonesia kerana aku sangat suka menonton drama dari Indonesia. Walaupun ceritanya meleret-leret dan kadang-kadang tidak logik pada fikiran kita tetapi ceritanya begitu melucukan. Rupa-rupanya dia seorang yang sangat peramah. Banyak pula yang diceritakan kepada kami mengenai tempat kelahirannya itu. Seronok pula aku mendengar cerita daripadanya. Dia turut menceritakan pengalamannya yang sesat semasa dalam perjalanan ke Tanjung Malim. Aku berfikir sejenak, bagaimana keadaanku jika aku ditempatnya. Namun, demi kejayaan katanya, dia gagahi jua. Aku sangat bersetuju dengan kata-katanya. Hebat sungguh prinsip orang Acheh. Walaupun berhadapan dengan pelbagai ujian, dia tidak gentar untuk terus menuntut ilmu di negara orang. Sikapnya wajar untuk aku contohi.

Sikap Bantu-Membantu


22 March 2013

            Semalam, telah terjadinya satu peristiwa yang tidak mungkin aku lupakan dalam hidupku. Peristiwa ini sangat menyentuh hatiku. Aku dan tiga orang rakanku, Ruzita, Siti dan Juliza bersiar-siar ke Pantai Teluk Chempedak, Kuantan. Sewaktu kami berjalan mengambil angin, daripada jauh kami terlihat seorang lelaki buta mahu melintas jalan namun tiada sesiapa pun yang mahu membantunya. Mereka hanya melihat sahaja dan tidak mengendahkan sama sekali lelaki buta tersebut yang kelihatan buntu dan teragak-agak untuk melintas. Tambahan pula, pada ketika itu terdapat banyak kenderaan yang sedang keluar masuk ke pusat pelancongan tersebut. Kami berasa sangat kasihan kepadanya. Pada saat itu juga, aku membayangkan bagaimana nasibku jika berada ditempatnya. Tanpa mengambil masa yang lama, kami berempat berpakat menghampirinya untuk membantu dia melintas jalan. Orang buta tersebut berterima kasih kepada kami. Kami berasa gembira dan berpuas hati kerana dapat memberi pertolongan kepada orang yang dalam kesusahan meski pun pertolongan kami itu tidaklah sebesar mana. Aku berasa hairan dengan sikap orang ramai pada masa kini. Dimanakah perginya nilai-nilai murni yang seharusnya kita amalkan dalam kehidupan seharian kita. Hidup ini seperti roda, kadangkala kita berada di atas dan kadangkala kita berada di bawah. Oleh hal yang demikian, kita seharusnya menerapkan nilai murni di dalam diri kita agar dapat menjadi contoh kepada generasi pada masa akan datang.       

Percutian Keluarga


21 March 2013                  

            Hari ini merupakan hari yang sangat membahagiakan buat diriku kerana pada hari ini, aku dan keluargaku akan bercuti ke Cameron Highlands selama beberapa hari. Aku berasa sungguh seronok kerana saat sebegini sudah lama aku nantikan kerana kami sekeluarga jarang sekali dapat berkumpul beramai-ramai seperti ini. Ini merupakan peluang buat kami semua untuk bercuti kerana masing-masing selalunya sibuk bekerja dan belajar. Semuanya kelihatan bahagia sekali ditambah pula dengan kehadiran anak saudaraku yang pertama iaitu Rayyan yang baru berusia 6 bulan. Rayyan merupakan cucu sulung dalam keluargaku, dan dia menjadi penyeri dalam hidup kami semua. Hal ini disebabkan adik-beradikku semuanya adalah perempuan dan ibuku sangat menginginkan seorang anak lelaki. Di Cameron Highlands, kami menghabiskan masa bersama-sama iaitu dengan melihat pemandangan yang cukup indah, memetik buah strawberi dan sebagainya. Semua kenangan di sana, kami sempat rakamkan melalui gambar dan video. Suasana kelihatan meriah sekali selama beberapa hari kami luangkan masa bersama. Saat sebegini sangat memberi makna buatku sekeluarga kerana di samping bergembira, aktiviti bercuti seperti ini dapat merapatkan lagi hubungan silaturrahim di antara kami semua. Aku memanjatkan syukur ke hadrat Ilahi kerana telah mengurniakan aku sebuah keluarga yang cukup sempurna bagiku dan semoga kami sekeluarga dilimpahi dengan kebahagiaan sentiasa.

Kes Ragut


20 March 2013

            Pada minggu yang lalu, aku mendapat satu panggilan telefon daripada rakanku, Hairul yang sedang menuntut di Uitm, Shah Alam. Dia menceritakan tentang satu kejadian kes ragut yang berlaku betul-betul di hadapan matanya. Kejadian tersebut berlaku pada pukul 4 pagi iaitu semasa dia dan beberapa orang rakannya sedang menonton perlawanan bola sepak di sebuah gerai makan yang berhampiran dengan rumah sewanya. Dia memberitahu bahawa perempuan yang diragut itu berjalan seorang diri dengan membawa sebuah beg tangan lalu diragut oleh seorang mat rempit. Perempuan itu kebiasaannya akan keluar pada waktu malam untuk melepak dengan kawannya yang juga merupakan mat rempit. Pada ketika itu terdapat ramai orang awam yang melihat kejadian ragut itu, namun mereka semuanya tergamam dan tidak sempat untuk mengejar mat rempit tersebut. Perempuan tersebut kelihatan terkejut dan tergamam tetapi nasibnya baik kerana dia hanya terjatuh dan tidak mengalami kecederaan yang teruk. Orang ramai terus meluru ke arahnya dan membantu untuk mententeramkannya. Ini merupakan kali kedua Hairul melihat kes ragut yang berlaku betul-betul di hadapan matanya. Sebelum dia menamatkan perbualan telefon antara kami, dia sempat mengingatkanku agar tidak berjalan seorang diri pada waktu malam dan sentiasa berwaspada semasa membawa beg tangan ke mana-mana. Aku sangat bersyukur kerana mempunyai seorang rakan sebaik Hairul kerana dia merupakan sahabatku yang sangat mengambil berat dan pesanannya akan sentiasa terpahat dalam ingatanku ini.

Kemalangan Maut


19 March 2013

Pada hari ini, aku mendapat khabar berita yang sangat menyedihkan daripada adikku. Adikku memberitahu bahawa rakan sekolejnya yang bernama Nur Ajlaa telah terlibat dalam kemalangan jalan raya dan telah pun meninggal dunia. Meskipun arwah tidak mempunyai kaitan denganku, tetapi aku turut menumpang sedih terhadap kematiannya. Arwah dikatakan keluar bersama empat orang rakan kolej yang lain dengan menaiki sebuah kereta sewa. Mereka bersiar-siar ke Pantai Cherating dan sebelum kejadian, arwah sempat mengajak rakan-rakannya singgah ke rumahnya sebelum pulang ke kolej mereka. Arwah juga sempat berjumpa dan mencium tangan ibunya sebelum maut di tempat kejadian yang tidak jauh dari rumahnya. Manakala empat rakannya cedera parah dan berada di wad ICU. Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Al-Fatihah. Kejadian tersebut sungguh menyentuh hati kami sekeluarga yang bersimpati dengan keluarga mangsa. Semoga keluarga arwah tabah dan sabar menghadapi ujian dari Allah S.W.T dan menerima qada’ dan qadarNya.

Kekejaman di Palestin


18 March 2013

            Pada ketika ini, semua orang sedang berbicara tentang isu di Palestin terutamanya di laman-laman sosial, radio, surat khabar mahu pun di televisyen. Semuanya berbicara tentang kekejaman Israel terhadap Palestin. Aku juga tidak ketinggalan mengikuti perkembangannya. Hari ini juga aku telah menyaksikan satu video tentang kekejaman Israel terhadap Palestin. Aku tidak dapat menahan kesedihan daripada apa yang aku lihat. Ternyata sugguh terseksa keadaan penduduk di Palestin. Air mataku menitis kesedihan. Anak-anak kecil dibom dan terbunuh dengan begitu sahaja tanpa rasa belas kasihan langsung. Beribu-ribu mayat bergelimpangan dan beribu-ribu manusia yang mati syahid. Dapat kubayangkan penderitaan yang mereka alami pada waktu ini. Aku hanya mampu berdoa supaya mereka mencapai keamanan di sana. Ya Allah ya Tuhanku, selamatkanlah saudara-saudara seislamku di sana. Semoga semuanya baik-baik sahaja. Amin.